Najib Razak

TEMERLOH – Sebanyak 50 jenis barangan keperluan harian berjenama dijual lebih murah berbanding harga pasaran merupakan antara ciri pembaharuan yang dibawa menerusi Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia antara penambahbaikan yang dilakukan terhadap Program KR1M yang diperkenalkan sejak 2011 selepas mengkaji kelemahan-kelemahannya berdasarkan maklum balas rakyat.

Ada beberapa perubahan dari segi ciri KR1M terdahulu yang mana sebelum ini kita melaksanakannya di kedai yang khusus sahaja. Namun kali ini kita melaksanakannya di kedai yang menjadi rakan kongsi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu Tunas Manja Group (TMG).

“Kita juga telah menentukan untuk tidak lagi menjual barangan yang tidak berjenama kerana hasil maklum balas kita dapati rakyat lebih berminat dengan yang mempunyai jenama sebab itu kita kekalkan barangan berjenama tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan KR1M 2.0 di pasar raya TMG, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Lebih 6,000 penduduk dari kawasan sekitar turut membanjiri pasar raya berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual dengan harga istimewa sempena pelancaran KR1M 2.0 berkenaan.

Menurut Najib, KR1M 2.0 juga menyasarkan membuka 300 outlet di rangkaian pasar raya TMG serta KK Super Mart yang menjadi rakan strategik Perbadanan Nasional Berhad (PNS), pengendali induk KR1M 2.0 itu, menjelang hujung tahun ini.

Kita menyasarkan lebih 3,000 kedai KR1M 2.0 dibuka di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun dengan jumlah barangan dijual dengan harga murah juga meningkat,katanya.

Beliau berkata berbanding sebelum ini, model perniagaan baharu KR1M 2.0 mengamalkan dasar yang lebih terbuka dan berdaya saing serta memberi peluang kepada lebih ramai pemilik perniagaan kedai runcit menyertainya.

Dalam masa yang sama, Najib berkata sebagai permulaan kedai KR1M 2.0 juga akan menjual empat jenis barangan keperluan asas lebih rendah daripada harga pasaran.

Barangan itu adalah gula yang djual pada harga RM2.85 sekilogram (kg) berbanding RM2.95 di kedai biasa, tepung pada harga RM1.30 berbanding RM1.35, beras cap Bunga Raya seberat 10kg pada RM24.90 berbanding RM26, manakala minyak untuk sekilogram masih dijual dengan RM2.50 kerana telah diberikan subsidi oleh kerajaan.

Katanya, tidak ketinggalan barangan keperluan harian berjenama lain seperti serbuk minuman Milo satu kilogram dan lampin pakai buang ‘Pampers’ yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran.

Inisiatif kerajaan ini akan beri banyak manfaat kepada rakyat dan rakyat boleh buat perbandingan dengan kedai biasa saya harap kalau nak jimat berbelanja kita mesti menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

Pergilah ke kedai yang jadi rakan kongsi KR1M 2.0 ini dan ia akan beri keuntungan bukan sahaja kepada pembeli tetapi juga kepada pekedai yang mengambil bahagian dalam skim ini kerana mereka mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding sebelum ini.

Inilah contoh kerajaan yang prihatin dengan keperluan dan kehendak rakyat, katanya.