Salleh Man

PULAU PINANG – Teka-teki mengenai nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Datuk Salleh Man akhirnya terjawab selepas beliau disahkan tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, keputusan itu bagi memberi peluang kepada calon baharu untuk membawa suara dan perjuangan Pas berkaitan Islam di Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Majlis Syura Ulama yang akan menentukan senarai calon Pas yang akan bertanding dalam PRU-14.

“Beliau (Salleh) masih lagi ahli Pas, tetapi kita mengambil keputusan merehatkan beliau untuk pilihan raya umum kali ini.

“Kita juga mahu melihat muka baharu yang akan mewakili Pas dan berharap agenda membawa suara Islam dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dapat diteruskan orang lain,” katanya.

Muhammad Fauzi ditemui pemberita selepas Majlis Dialog Presiden Pas bersama Badan Bukan Kerajaan India yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Kepala Batas, di sini hari ini.

Sebelum ini, Salleh yang merupakan satu-satunya wakil rakyat Pas di negeri ini dikritik banyak pihak selepas beliau masih berada dalam barisan kepimpinan Kerajaan DAP Pulau Pinang meskipun pakatan pembangkang memutuskan hubungan dengan Pas.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak supaya Salleh yang dilihat lebih mesra DAP menyatakan pendirian sama ada masih bersama Pas atau sebaliknya namun beliau mengambil sikap berdiam diri.

Dalam pada itu, Salleh yang dihubungi pemberita bagi mendapatkan reaksi berhubung perkara itu melahirkan rasa syukur dengan keputusan partinya tersebut.

“Alhamdulillah. Saya akan terus bersama rakyat dan akan terus mengerjakan kebajikan sekadar kemampuan,” katanya yang turut memaklumkan sedang berada di Langkawi, Kedah ketika ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast