Beijing – China merancang untuk memodenkan sektor pertaniannya menjelang 2035 sebagai sebahagian daripada pelan merangsang pendapatan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup, demikian menurut kenyataan kerajaan yang hadir selepas timbulnya kebimbangan terhadap jurang kekayaan dan kelembapan ekonomi negara tersebut.
Kenyataan tersebut dibuat bagi memperlihat progres signifikan di dalam meremajakan semula pelan luar bandar menjelang 2020 dan memodenkan pertanian menjelang 2035 serta sebuah plan mengukuhkan sektor pertanian dan memberikan kekayaan kepada petani menjelang 2050.
“Tanpa modenisasi pertanian maka tiada modenisasi negara,” kata kerajaan dalam kenyataan dasar buat pertama kalinya tahun ini.
China merupakan pemilik sektor pertanian terbesar di dunia dengan ratusan juta rakyat bekerja sebagai petani namun produktiviti masih redah.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita kebangsaan, Xinhua lewat malam tadi menggelarkan kenyataan tersebut sebagai dokumen Nombor Satu dan dijadikan keutamaan Beijing bagi tahun ini.
China telah mengambil langkah untuk memodenkan sektor pertanian dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai usaha untuk menjadikannya lebih berkesan.
Ia telah melakukan perubahan besar-besaran terhadap pengeluaran bijian, menghentikan skim penyimpanan negara dan menghentikan harga sokongan terhadap gandum dan beras.
Beijing juga berhasrat untuk mengalihkan tumpuan kepada kualiti berbanding kuantiti dengan mempromosikan kepelbagaian produk berpermintaan tinggi seperti gandum tinggi gluten atau jagung yang digunakan untuk makanan lembu tenusu.
Usaha ini akan diteruskan, kata kenyataan tersebut yang turut menggesa penggunaan jentera-jentera pertanian untuk mempercepatkan lagi perkembangan sistem tuaian moden serta beralih kepada pertanian digital. – MalaysiaGazette