PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapat kebenaran untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka untuk memfailkan pembelaan mereka dalam saman sivil berkaitan penyelesaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim, sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan dikemukakan oleh Najib dan1MDB sementara menunggu rayuan mereka di mahkamah rayuan diputuskan.
Najib, 1MDB dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman difailkan terhadap mereka oleh 10 anggota Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1). Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Feb.
Semasa memberikan kebenaran itu, Hakim Mohd Zawawi, yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah berpandangan sekiranya permohonan penangguhan itu ditolak, ia akan membazirkan masa mahkamah sekiranya mahkamah rayuan membuat keputusan yang memihak kepada pemohon (Najib dan 1MDB) untuk membatalkannya.
Pada 11 Julai tahun lepas, GANT1 diketuai Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Muhammad Faiz Fadzil dan sembilan lagi individu memfailkan saman terhadap Najib, 1MDB dan Kerajaan Malaysia.
Saman itu berhubung persetujuan dicapai di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London di antara 1MDB dengan IPIC berkaitan dakwaan 1MDB menerima bantuan bon USD$3.5 bilion daripada IPIC dan subsidiarinya Aabar Investment PJS (Aabar Asli) bagi pembelian loji tenaga.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, anggota GANT1 mendakwa IPIC dan Aabar Asli, pada 14 Jun 2016, membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan kerajaan berhubung tuntutan US$6.5 bilion atas kegagalan 1MDB menunaikan kontrak itu.
Anggota GANT1 berkenaan, antara lain menuntut deklarasi bahawa persetujuan penyelesaian dan pemberian award yang ditandatangani di London adalah tidak sah dan batal.
Pada 9 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib, 1MDB dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman itu.
Selepas mahkamah membuat keputusan itu, Datuk Wira Hafarizam Harun yang mewakili Najib, berkata tarikh akhir untuk anak guamnya memfailkan kenyataan pembelaan adalah pada Jumaat ini, namun berikutan penangguhan diberikan, mereka tidak perlu memfailkan pembelaan.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili anggota GANT1. – MalaysiaGazette