Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pelbagai salah faham dan penyelewengan fakta dihamburkan terhadap Pas berkenaan cadangan untuk memperkenalkan kerajaan teknokrat di Malaysia.

Sebahagian pihak memberikan tafsiran sebagai “pembentukan kerajaan 2 kabinet” iaitu suatu bentuk tafsiran yang terlalu lemah, semberono dan tidak memahami maksud sebenar cadangan kerajaan teknokrat.

“Bagaimanapun, Pas tegas menolak segala bentuk sistem kasta mahupun kerajaan teokrasi apatah lagi kerajaan diktator dalam sistem pemerintahannya.

“Malah, cadangan kerajaan teknokrat tidak memaksudkan begitu, sebaliknya ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang diketengahkan bagi mengembalikan semula makna serta tujuan sebenar demokrasi,” kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, cadangan kerajaan teknokrat di Malaysia bertujuan menggabungjalinkan kelompok pakar dalam bidang masing-masing serta mereka yang dipilih melalui sistem pilihanraya untuk duduk semeja dan berbincang bagi membangunkan negara bersama-sama.

Jelasnya, kelompok pakar itu akan diposisi pada bahagian kumpulan utama jentera pelaksana dasar dan polisi kerajaan, di samping bertanggungjawab mengendalikan urusan berdasarkan kepakaran yang mereka miliki.

“Itu maksud sebenar yang disampaikan oleh Presiden Pas yang sengaja diputarbelit oleh pihak berkepentingan. Sampai bila harus perkara fitnah dan penyelewengan fakta ini akan terus berlaku di dalam negara?” soal beliau.

Nasrudin berkata, cadangan itu tidak sama sekali mewujudkan sistem kasta seperti dakwaan sesetengah pemimpin parti politik yang hanya sekadar mengutamakan kepentingan politik berbanding menghasilkan kaedah terbaik sebagai jalan keluar terhadap krisis politik yang semakin buntu dan akhirnya merugikan rakyat.

Menurut beliau, konsep kerajaan teknokrat mampu mengendurkan ketegangan parti-parti politik di Malaysia, menyebabkan wujud suatu persaingan yang bukan di atas kepentingan rakyat, tetapi lebih menjaga “periuk nasi” politik masing-masing.

“Paling mustahak, ia juga turut memanfaatkan kepakaran yang dimiliki golongan pakar supaya turut serta memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran masing-masing bagi membangunkan negara.

“Kita berharap cadangan kerajaan teknokrat ini dibahaskan secara ilmiah, bukan di atas sentimen yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast