Home Nasional Kadar tol, levi Linkedua akan dikurangkan

Kadar tol, levi Linkedua akan dikurangkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan pengurangan kadar levi kenderaan perdagangan dan tol lebih murah di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) untuk tujun mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pengumuman itu dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat demi menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan Linkedua.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua yang dipengerusikannya hari ini akan mencadangkan perkara itu kepada mesyuarat Kabinet esok untuk diteliti sebelum diputuskan Perdana Menteri.

“Pengurangan kadar levi baru itu penting bagi menarik lebih banyak kenderaan perdagangan untuk menggunakan Linkedua, sekali gus menyuraikan kesesakan teruk di Tambak Johor.

“Bagaimanapun, kadar levi kenderaan perdagangan di laluan Tambak Johor masih dikekalkan,” katanya dipetik sebagai berkata pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Tambah Zahid, langkah mengurangkan kadar levi itu dijangka dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdagangan menggunakan Tambak Johor.

Sebelum ini dilaporkan kadar levi kenderaan komersial di Linkedua akan diturunkan kepada RM50 berbanding RM200 bertujuan menggalakkan penggunaan laluan itu, sekali gus mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Ujarnya, kerajaan juga akan terus memastikan keperluan infrastruktur di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) ditambah baik selaras dengan jangkaan pertambahan trafik kenderaan perdagangan termasuk keperluan sistem mesin pengimbas barangan kargo.

Beliau berkata, difahamkan, lebih 300,000 hingga 400,000 orang keluar masuk Malaysia – Singapura setiap hari dan ia mampu mencecah sehingga 500,000 orang pada musim perayaan dan cuti awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast