Temubual bersama penyanyi, Zamani Slam di Studio MalaysiaGazette, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas vokalis Slam, Zamani mengakui dia masih meneruskan rawatan bagi mengatasi ketagihan dadah yang dihidapinya sejak sekian lama.

Zamani, 46, berkata, selain rawatan, dia juga berusaha untuk mengelak melakukan aktiviti yang boleh mendorong dirinya kembali menagih.

Justeru, jelasnya, dia kini lebih selesa menghabiskan masa bersendirian di rumah jika tidak terlibat mana-mana persembahan.

“Saya masih meneruskan rawatan kerana untuk mengatasi ketagihan dadah, ia bukan mudah.

“Saya masih berkunjung ke Pengasih (Persatuan Pengasih Malaysia) atau AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) sesekali mengikut keperluan diri saya.

“Pada masa sama, saya juga mengelak untuk melakukan aktiviti yang cenderung untuk kembali menagih dengan berhati-hati memilih rakan-rakan,” katanya yang berkunjung ke Studio MalaysiaGazette di sini hari.

Tambah Zamani, proses pemulihan dirinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya keluarga, pengurusan dan juga rakan-rakan.

Zamani mengakui rasa sunyi apabila usia akan memasuki 47 tahun pada Mei ini.

Pada tahun 2015, Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim pernah menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia di Jalan Syers, di sini selama enam bulan.

Ketika sesi rawatan itu, berat Zamani yang ketika itu 45 kilogram meningkat sebanyak 11 kilogram dan program pemulihan di pusat itu menjadikannya lebih positif daripada segi mental serta fizikal walaupun dia kini mengalami kesan sakit tulang belakang bengkok.

Sementara itu, Zamani akan tampil membuat persembahan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu ini bermula pukul 8 malam.

Turut terlibat, Black, Siti Noordiana, Amelina, Liza Hanim, Elda Susanti, Hazami, Lan Solo, Nabila Razali, Maisarah Ukulele, Razak A ‘ Ai, Syazwanie Mentor, Putera Muhammad, Ikhwan Fatarna  dan Kumpulan Bunkface.

Karnival Hari Wilayah ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan menerapkan konsep perpaduan, persefahaman serta mengeratkan silaturrahim antara seluruh warga kota Kuala Lumpur tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti acara sukaneka dan rekreasi, pertandingan Xtreme Games, sukan tradisional, pertandingan Muay Thai, pertandingan memasak dan gubahan serta Persembahan Konsert Megastra Hari Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan hadir merasmikan Karnival Hari Wilayah 2018 bersama kehadiran tetamu kenamaan lain. – MalaysiaGazette

Zamani akan tampil membuat persembahan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Dataran Merdeka pada Sabtu ini bermula pukul 8 malam.

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast