[11:59, 2/6/2018] Khuzairi: Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar (dua dari kiri) menunjukkan kopi yang disyaki dicampur dadah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Polis sedang memburu seorang wanita Cina berusia 40-an yang dipercayai menjadi individu pertama yang mengedarkan kopi bercampur dadah kepada orang ramai di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, wanita misteri itu dipercayai mula mengedarkan kopi tersebut di sekitar Jelutong di sini, hujung Januari lalu.

Tambah beliau, keterangan wanita berkenaan diperlukan untuk melengkapan siasatan kes itu mengikut Seksyen 272 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, kita meminta kerjasama wanita ini untuk tampil membantu siasatan kes ini.

“Setakat ini juga, seramai tujuh individu dirawat di hospital selepas meminum kopi campuran itu yang diperoleh secara percuma dari individu tidak dikenali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar berkata, pihaknya menjangkakan memperoleh ujian kimia sampel kopi itu hari ini sekali gus menentukan kandungan sebenar bahan asing yang dicampur ke dalamnya.

Setakat ini, ujar beliau, siasatan awal mendapati sampel kopi itu dicampur bahan asing berwarna hijau yang disyaki dadah kira-kira 10 gram berdasarkan perbezaan berat sebenar paket kopi yang diedarkan berbanding yang dijual di pasaran.

“Setakat ini juga dua jenis kopi dikesan dicemari bahan asing ini dan kita juga sudah menerima laporan daripada syarikat pengeluar kopi tersebut,” katanya.

Pengedaran kopi bercampur dadah itu mula dikesan di negeri ini pada 27 Januari lalu selepas dua wanita Cina diserang gejala seperti sawan dan keletihan teruk selepas meminum kopi berperisa durian yang didermakan di sebuah tokong.

Beberapa hari kemudiannya, dua warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dikejarkan ke hospital akibat mengalami gejala sama selepas meminum kopi tersebut yang diberikan seorang wanita Cina yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast