KUALA LUMPUR -Golongan wanita yang mewakili 51 peratus pengundi negara ini diyakini akan terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil percaya wanita Malaysia tidak sanggup menggadaikan nasib diri dan keluarga semata-mata terpengaruh dengan dakwaan negatif pembangkang.
Katanya, meskipun pembangkang cuba memberi imej buruk terhadap kerajaan tetapi kestabilan, kemakmuran dan keamanan yang dinikmati adalah sesuatu yang tidak ternilai.
“Bila baca dan dengar dakyah-dakyah yang dilemparkan kepada kerajaan, macamlah negara ini sangat teruk.
“Seolah-olah kita tidak mahu mensyukuri kebaikan yang diberikan oleh kerajaan.
“Hakikatnya, apa lagi yang tidak ada, tidak dinikmati rakyat negara ini terutama wanita? Keselesaan, kualiti hidup semakin baik,” katanya ketika berucap di Himpunan Usahawan Sahabat Ikhtiar Malaysia hari ini.
Sehubungan itu, Shahrizat mahu wanita-wanita Malaysia yang bakal menjadi penentu masa depan terus mempertahankan kerajaan sedia ada.
“Pilihlah kerajaan yang stabil dan ada visi untuk masa depan.
“Jangan gadai negara sebab tidak suka individu tertentu. Oleh itu saya seru semua wanita gunakanlah pemikiran rasional bila mengundi.
“Wanita perlu ingat, jangan disebabkan satu undi itu anak cucu kita menjadi mangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette