Home Sukan Badminton: Malaysia tewas pada Thailand

Badminton: Malaysia tewas pada Thailand

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki negara bermula tempang apabila tewas kepada Thailand 2-3 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti, Alor Star, Kedah malam tadi.

Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan menyumbang mata pertama selepas menang mudah ke atas Khosit Phetpradab 21-13, 21-9.

“Seperti biasa, saya turun sebagai perseorangan pertama sentiasa bersedia untuk sumbangan pertama yang boleh jadi pembakar semangat kepada pasukan negara.

“Ini merupakan kelayakan Piala Thomas dan merupakan acara berpasukan. Setakat ini semangat berpasukan pemain berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita.

Namun gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2017, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas kepada Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-16, 19-21, 20-22.

Pemain kelahiran Alor Setar, Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia di hadapan selepas menewaskan Suppanyu Avihingsanon 21-14, 21-12.

Thailand kembali menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi pasangan beregu Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash yang menewaskan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 17-21, 11-21.

Perseorangan ketiga negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang diletakkan sandaran turut gagal menyumbang mata berharga negara selepas tewas kepada Kantaphon Wangcharoen 13-21, 14-21.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek berkata beliau telah menjangkakan saingan sengit akan diberikan oleh Thailand pada perlawanan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast