Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meluangkan masa berswafoto bersama orang-orang asli yang hadir pada Program Pemukiman Tok Batin dan JKKK Orang Asli di Dewan D2, MAEPS, Serdang. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Empat fokus utama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memajukan masyarakat Orang Asli.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus itu ialah masalah tanah simpanan, prasarana asas, pendidikan dan meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli.

Mengenai tanah simpanan, kementeriannya telah mengenal pasti kira-kira 134,490 hektar tanah melibatkan sebanyak 853 Perkampungan Orang Asli diseluruh negara akan diwartakan bagi menggelak berlaku pencerobohan dan pembalakan haram.

“Daripada jumlah itu, 19,870 hektar tanah simpanan telah diluluskan dalam Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri (Exco) beberapa negeri tetapi belum diwartakan, lebih 74,800 hektar lagi sudah dimohon oleh kementerian kepada kerajaan negeri untuk diwartakan, manakala 5,142 hektar lagi tanah sudah didiami masyarakat Orang Asli, tetapi belum buat permohonan untuk pewartaan.

“Kita akan pastikan semua 134,490 hektar ini akan diwartakan oleh semua kerajaan negeri, kerana bidang kuasa meluluskan tanah itu adalah bawah kuasa kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, setakat ini kerajaan negeri Perak, Pahang dan Johor ada menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk memantau isu ini.

“Walaupun bukan kuasa kementerian, tetapi kita akan terus mendesak kerajaan negeri yang belum selesai mewartakan tanah simpanan untuk masyarakat Orang Asli agar berbuat demikian sesegera mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Pemukiman Tok Batin dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) di Dewan D2, MAEPS, Serdang hari ini.

Seramai 604 Tok Batin dan 268 JKKKOA dari 18 suku kaum Orang Asli di seluruh negara berhimpun pada program dua hari bermula semalam.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bayara khas one-off sebayak RM1,500 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 Disember lepas.

Jumlah itu dibayar dua kali iaitu RM1,000 hari ini dan RM500 lagi pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Mengenai prasarana asas, Ismail Sabri menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada 853 Perkampungan Orang Asli sahaja seperti bekalan elektrik, air bersih, jalan raya, dewan orang ramai dan sebagainya.

Menurutnya, bagi perkampungan baharu Orang Asli yang tidak tersenarai dalam Jabatan Hal Ehwal Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), pihaknya tidak dapat menyediakan kemudahan itu kerana selain penempatan itu jauh di kawasan pedalaman, kewujudannya juga disebabkan perselisihan faham sesama mereka.

“Perkampungan baharu ini biasa ada dua tiga keluarga sahaja. Kedudukannya jauh ke dalam kawasan hutan simpan. Untuk menyalurkan kemudahan asas ini terlalu sukar. Jadi, kita berikan tumpuan kepada perkampungan yang berdaftar dahulu,” katanya.

Berhubung pendidikan, Ismail Sabri berkata, kerajaan mahu menyamatarafkan masyarakat Orang Asli dengan kaum lain seperti Melayu, Cina dan India di negara ini dalam bidang pendidikan.

Katanya, kerajaan menerusi kementeriannya hendak mengubah anak masyarakat Orang Asli supaya tidak ketinggalan dengan menyediakan sistem pendidikan negara di kawasan penempatan mereka tinggal.

“Setiap tahun kita beri anugerah kepada anak-anak Orang Asli yang berjaya dalam peperiksaan dan sehingga Januari lalu, seramai 40 pelajar belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), 56 melanjutkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan enam orang di Maktab Tentera.

“Di institut pengajian tinggi pula, seramai 394 penuntut anak Orang Asli menuntut di peringkat diploma, 354 lagi di peringkat ijazah dan 97 di peringkat Matrikulasi serta sijil.

“Anak Orang Asli yang dapat Doktor Falsafah (PHD) setakat ini lima orang, manakala enam orang lagi sedang dalam pengajian di peringkat PHD dan kini seramai 87 orang belajar di beberapa universiti luar negara,” katanya.

Bagi tumpuan keempat iaitu menambah pendapatan, beliau menjelaskan, kementeriannya dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawahnya menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada anak masyarakat Orang Asli.

Katanya, setakat ini seramai 6,541 anak Orang Asli menerima latihan di beberapa institusi tertentu berkaitan dengan tenaga mahir.

“Kita juga menganjurkan program berkaitan keusahawanan sebagai usaha meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus meringankan beban keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast