KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) berhubung dakwaan salah laku dan usaha menutup Pemangkin.
Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk Suhaimi Kamaruddin yang mewakili tiga plaintif iaitu dua pengasas Pemangkin Datuk Mohd Yusoff A.Bakar, 65, dan Ahmad Fazil Hashim, 61, serta Pemangkin.
Adnan berkata mahkamah membenarkan permohonan Jamil Khir untuk membatalkan saman itu selepas mendapati writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM2,000 kepada defendan pertama itu (Jamil Khir), katanya kepada media hari ini.
Selain Jamil Khir, plaintif dalam samannya turut menamakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pemangkin, iaitu Datuk Shahlan Ismail, 59; Mohd Yusof Abd Rahman, 62 dan Mokhtar Abdul Razak, 59; Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abibullah Samsudin, 58; Pengarah Undang-Undang Yapiem Sharina Ramli, bekas setiausaha syarikat itu Normala Embi, 54; dan YaPEIM sebagai defendan kedua hingga kelapan.- BERNAMA