PULAU PINANG – Seramai 30 individu termasuk seorang guru dan suaminya diambil keterangan setakat ini bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan yang membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superitendan Shafee Abd. Samad berkata, keterangan guru berusia 46 tahun dan suaminya berusia 48 tahun itu diambil susulan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa berhubung kejadian itu.
Tambah beliau, kertas siasatan kes itu juga telah disiapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendapatkan pandangan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Untuk siasatan lanjut kita masih menunggu keputusan dibuat Timbalan Pendakwaraya yang kini sedang meneliti kertas siasatan yang kita serahkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 24 Januari lalu, pelajar tingkatan dua berkenaan, M.Vasanthapiriya dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya selepas tertekan kerana didakwa dituduh mencuri telefon bimbit gurunya di sebuah sekolah di Nibong Tebal.
Kejadian itu disedari bapanya yang bergegas membawa remaja itu ke hospital untuk rawatan namun remaja 14 tahun berkenaan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas dirawat sejak 24 Januari lalu.
Kejadian itu mendapat perhatian banyak pihak dan mencetuskan pelbagai spekulasi kononnya telefon bimbit berkenaan sudah ditemui selepas guru berkenaan tercicir di kedai makan.
Bagaimanapun, Shafee sebelum ini memaklumkan dakwaan itu tidak benar sekali gus menggesa masyarakat supaya tidak membuat andaian dan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.- MalaysiaGazette