Home Ekonomi Malaysia kenakan duti lambakan CRSS mulai hari ini

Malaysia kenakan duti lambakan CRSS mulai hari ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memuktamadkan penyiasatan anti-lambakan ke atas import keluli tahan karat gulungan sejuk (CRSS) dari Republik Rakyat
China, Republik Korea, Taipei dan Thailand.

Hasil siasatan itu, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan afirmatif kepada negara-negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kutipan duti anti-lambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selama lima tahun mulai hari ini hingga 7 Februari 2023.

Untuk negara China, duti yang dikenakan ke atas Shanxi Taigang Stainless Steel Co., Ltd. ialah 2.68 peratus dan lain-lain 23.95 peratus dan Korea melalui POSCO 4.44 peratus dan lain-lain 7.27 peratus.

Syarikat Taipei, Tang Eng Iron Works Co., Ltd. 7.78 peratus, Walsin Lihwa Corporation 2.79 peratus, Walsin Lihwa Corporation 2.79 peratus dan lain-lain 14.02 peratus. Sementara, Thailand menerusi POSCO-Thainox 22.86 peratus dan lain-lain 111.61 peratus.

Penyiasatan ini telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan
Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan
1994 susulan dari petisyen yang difailkan oleh Bahru Stainless Sdn. Bhd. (Pempetisyen),
pengeluar produk CRSS.

Pempetisyen mendakwa pengimportan CRSS dari negara-negara tersebut dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Pelaksanaan duti anti-lambakan terhadap import CRSS dari negara-negara terbabit
dijangka menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil. – MalaysiaGazette