Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah tidak menolak kemungkinan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Meskipun parti yang diterajuinya masih belum mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan namun atas desakan majoriti daripada ahli-ahli parti itu, keputusan untuk bertanding mungkin akan dibuat.

“Ramai mendesak saya, bukan memberi cadangan tapi mereka (ahli) mahu saya bertanding pada PRU-14.

“Tapi saya masih belum bersedia. Ada perkara yang saya masih belum puas hati lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Mohd. Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) berkata, PRU-14 memberi cabaran hebat kepada Barisan Nasional (BN) kerana ‘kehadiran’ dua parti baru iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, bagi satu-satu Parlimen pertembungan tiga penjuru berkemungkinan akan berlaku dan ia akan memberi implikasi besar kepada BN terutama bagi pengundi atas pagar.

Ujarnya, jika BN memberi peluang kepadanya untuk bertanding beliau bersedia untuk menyahut tawaran itu kerana penubuhan Pekira sendiri adalah untuk memberi sokongan kepada BN.

Beliau menaruh keyakinan tinggi akan mendapat sokongan terutama golongan atas pagar.

Menyentuh soal pendaftaran Pekira masih belum diluluskan RoS, pihaknya akur tetapi dalam masa yang sama mendesak supaya ia dipercepatkan memandang ia boleh mengukuhkan BN kerana majoriti ahli-ahlinya golongan atas pagar.

Lagi pun, katanya, keahlian Pekira kini mencecah 20,000 orang dan bilangannya jauh lebih banyak berbanding sesetengah parti komponen BN yang sedia ada.

“Itu baru keahlian yang mendaftar dalam Pekira, belum dicampur lagi dengan mereka yang menjadi ahli dalam IKHLAS,” ujarnya sambil menambah bersedia berkempen untuk BN sekiranya diarahkan secara rasmi.

Beliau dalam masa yang sama juga menasihati BN supaya jangan memandang rendah keupayaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mereka bakal memberi cabaran hebat.- MalaysiaGazette