Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas selesai Sesi Penggulungan Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang 1 Tahun 2018 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin enggan melayan cabaran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Langkawi sebaliknya mencabar bekas perdana menteri itu pula datang ke kawasannya, Rembau.

Mahathir membuat cabaran sebelum ini kepada Khairy kerana tidak berpuas hati dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu yang berkata Langkawi tidak akan maju dan membangun sekiranya tidak ada sokongan Barisan Nasional (BN).

“Dia (Mahathir) datanglah bertanding dekat Rembau,” kata Khairy semasa ditemui wartawan selepas menghadiri majlis penutup Parlimen Belia di Bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sesi Parlimen Belia yang berlangsung selama dua hari kali ini, Khairy berpuas hati dengan mutu perbahasan dan usul yang dibawa kerana dilihat relevan dengan isu semasa.

“Mutu perbahasan sangat baik, saya bangga dengan mereka semua dan usul pun relevan yang saya rasa tepat dengan isu-isu hangat dibincang diluar dan membantu kerajaan sebab dapat menyampaikan idea-idea tertentu terutamanya dalam isu perumahan dan sebagainya.

“Jadi, Parlimen Belia ini terbukti satu kejayaan dapat menyerlahkan bakat mida yang memberi input dan idea kepada kerajaan menerusi usul mereka,” katanya lagi.

Mengenai kritikan ahli-ahli Parlimen Belia banyak terdiri daripada mereka yang cenderung menyokong kerajaan, Khairy menjelaskan, wakil-wakil tersebut dipilih menerusi pilihan raya yang diadakan dalam talian setiap dua tahun sekali.

“Parlimen Belia adalah satu demokrasi, ini bukan dilantik mereka, mereka dipilih rakan sebaya yang mesti daftar pengundi dan mereka undi online.

“Jadi, kalau belia yang mempunyai kecenderungan politik berbeza dan ingin menjadi wakil Parlimen Belia, maka mereka perlu bertanding dalam Parlimen Belia yang diadakan setiap dua tahun,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast