KUCHING – Banjir di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan 57 sekolah ditutup dan tidak beroperasi setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, penutupan itu menjejaskan 6,274 murid, 826 guru dan 350 kakitangan bukan guru.

“Jabatan Pendidikan Sarawak memaklumkan jumlah sekolah ditutup meningkat kepada 57 sekolah berbanding 55 yang direkodkan semalam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, jumlah penduduk terjejas banjir juga meningkat kepada 4,444 orang berbanding 4,267 yang dicatatkan malam tadi.

“Semua mangsa banjir ditempatkan di 24 PPS merangkumi Samarahan 106 orang, Serian (1,201), Sarikei (lapan), Sibu (1,175), Mukah (100), Bintulu (1,532) dan Limbang (322),” katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sarawak banjir turut menjejaskan operasi klinik kesihatan di negeri ini.

“Banjir mengakibatkan lapan klinik tidak beroperasi iaitu Klinik Kesihatan Ulu Teru serta Klinik Kesihatan Long Loyang di Miri, Klinik Kesihatan Nanga Taroh, Mukah, Klinik Kesihatan Sungai Arip, Sibu, Klinik Kesihatan Tamin, Selangau, Klinik Kesihatan Nanga Tau serta Klinik Kesihatan Sangan di Bintulu dan Klinik Kesihatan Batu Danau, Limbang,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast