Home Nasional Interpol puji kerjasama jabatan kerajaan urus kes Kim Jong Nam

Interpol puji kerjasama jabatan kerajaan urus kes Kim Jong Nam

PUTRAJAYA – Jabatan-jabatan kerajaan Malaysia yang mengendalikan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong Un tahun lalu mendapat pujian Polis Antarabangsa (Interpol) kerana aspek kerjasama yang menonjol.

Justeru bertitik tolak daripada prestasi baik pihak-pihak berkuasa dalam negara, Interpol menganjurkan Bengkel Exploitasi Bukti Bioterorisme  2018 selama tiga hari dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia.

“Ini merupakan satu kolaborasi yang penting dalam kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan pihak Interpol telah memilih Malaysia sebagai negara tumpuan kerana mengikut mereka ini bahawa mereka terpegun dengan kerjasama yang ada di antara agensi-agensi di dalam jabatan kerajaan kita ini.

“Tujuan diadakan kursus ini adalah untuk sama-sama kita mengenal pasti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada di antara jabatan-jabatan yang terlibat dalam siasatan sebegini,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd ketika sidang media sempena penutupan bengkel tersebut.

Jelas beliau, hari terakhir bengkel ini merumuskan bahawa terdapat beberapa SOP dalam jabatan kerajaan yang terlibat dalam siasatan kes pengganas.

“Masing-masing jabatan ada SOP sendiri ada yang masih longgar, masih tidak padat jadi kita perkemaskan, kita jadikan satu garis panduan, kalau jadi apa-apa mereka akan bertindak mengikut garis panduan.

“Tidak keluar dengan satu SOP tapi tingkatkan dan perkemaskan SOP masing-masing untuk dijadikan paksi bila berlaku kes-kes melibatkan pengganas,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut secara khusus jabatan-jabatan yang perlu meningkatkan piawaian bertugas sebaliknya berkata, bengkel ini berjaya mengelakkan berlakunya pertindihan tugas khusus untuk menyelesaikan kes melibatkan pengganas.

“Mungkin bomba akan memperkemaskan, imigresen atau lain-lain lagi. Setiap jabatan ada peranan masing-masing bila kita kenal pasti SOP masing-masing bila berlakunya kejadian kes tidaklah bertindihan,” tambah beliau.

Terdahulu Wan Ahmad memaklumkan bengkel yang bermula pada 7 Febuari yang lalu disertai oleh 21 pegawai yang diantaranya daripada Jabatan Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kimia.

Turut hadir dalam sidang media adalah Sekretariat umum Interpol Dinis Adrio dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik, Databank DNA/Perancangan Strategik Bukit Aman) Senior Asisten Komisioner Narenasegaran Thangaveloo.

Kursus ini bermula dengan progrm bicara santai (Table Talk), praktikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan diakhiri dengan penilaian hari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast