KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengeluarkan berita palsu bertujuan untuk mengelirukan rakyat khususnya tentang kerjasama Malaysia-China dalam pembangunan Taman Perindustrian Kuantan (MCKIP).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan Mahathir itu amat dikesali kerana cuba menghasut rakyat tentang Malaysia bakal tergadai hanya kerana wujudnya Jalan Qinzhou di Kuantan.
“Macam Tun M kata, MCKIP telah ditembokkan, dalam kawasan itu semua tanah orang China, kita tak boleh masuk, milik negara China, kita rakyat Malaysia tak boleh masuk. Itu tak betul.
“Itu menghasut, dia sendiri bekas Perdana Menteri dia tahu, itu tak betul. Kemudian dia keluarkan, di sini kita (kerajaan) telah beri nama Jalan Qinzhou, tapi dia tak kata di bandar Taman Industri Qinzhou di China, kita letak Jalan Kuantan.
“Ini separuh tepat, tak betul lah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan Akta Berita Palsu semata-mata untuk kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik kerajaan secara terbuka.
Tiong Lai selaku Presiden MCA juga sudah hilang hormat terhadap Mahathir yang berterusan mengkritik usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekang penularan berita palsu.
“Sebagai seorang yang bertanggungjawab saya rasa, saya hilang hormat kepada dia (Mahathir).
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, beliau perlu berhujah dengan bertanggungjawab, jangan mainkan isu sentimen perkauman,” katanya. – MalaysiaGazette