Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menggubal undang-undang menangani berita palsu adalah selaras dengan trend semasa, sekali gus tidak menyekat kebebasan bersuara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan akta baharu itu berlainan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tahanan tanpa bicara.

“Penggubalan kepada undang-undang ini masih belum muktamad. Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan sebelum diputuskan oleh Mesyuarat Kabinet.

“Tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Page Facebooknya, hari ini.

Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai undang-undang berita palsu di akaun Page Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir selaku pengerusi Pakatan Harapan pada Rabu yang mendakwa pengenalan undang-undang berita palsu boleh menyekat kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik kerajaan secara terbuka.

Azalina berkata, dakwaan Mahathir itu tidak berasas kerana ia adalah isu global dan negara luar juga mengambil langkah sama untuk membendung ancaman berita palsu.

“Sebagai bekas Perdana Menteri dan juga bekas ahli Parlimen lebih 20 tahun, Tun Mahathir seharusnya melihat usaha ini tanpa prasangka buruk.

“Ini kerana pindaan ini dibuat dengan niat untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Azalina berkata, Mahathir sepatutnya berfikiran lebih rasional dalam menilai isu berkenaan kerana penyebaran berita palsu dibuat dengan niat tidak baik dan tidak beretika.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk beliau sendiri.

“Berita palsu juga dilihat sebagai strategi perang baru yang boleh memusnahkan negara dengan hanya dihujung jari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast