BELANDA – Rodrigo Duterte memberitahu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya teruskan siasatan dirinya yang dikaitkan dengan jenayah terhadap kemanusiaan.
Malah, beliau memaklumkan lebih suka menghadapi skuad penembak berbanding dipenjarakan.
Walau bagaimanapun, Presiden Filipina yang terkenal kerana lantang bersuara terhadap tekanan antarabangsa berhubung usahanya memerangi dadah mempersoalkan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa untuk menuduhnya terhadap kematian ribuan rakyat Filipina akibat dadah.
Beliau menafikan telah memberi arahan kepada polis untuk membunuh suspek-suspek dadah.
Pendakwa Raya ICC Fatou Bensouda berkata, pemeriksaan awal ke atas kempen Duterte untuk menentukan sama ada ia mempunyai bidang kuasa dan jika jenayah terhadap kemanusiaan telah dilakukan.
“Saya akan meminta hak istimewa untuk bercakap dengan anda. Hanya kita berdua di dalam bilik.
“Jika anda ingin cari salah saya, teruskan. Cari negara di mana mereka membunuh orang dengan skuad penembak dan saya sudah bersedia.
“Jika anda hendak membawa saya untuk dibicarakan, tidak perlu. Teruskan dan teruskan siasatan anda. Buktikan saya bersalah, sudah tentu anda boleh melakukannya,” kata Duterte semasa sidang berita, merujuk kepada Bensouda.
Kira-kira 4,000 penduduk bandar di Filipina telah dibunuh oleh polis berikutan kempen perangi dadah oleh Duterte.
Tindakan itu mendapat perhatian komuniti antarabangsa.
Aktivitis percaya jumlah kematian akibat dibunuh polis jauh lebih besar dan menuduh ia telah disembunyikan oleh polis. Kerajaan Filipina dan polis menafikan tuduhan berkenaan.
Pemeriksaan ICC itu adalah langkah formal yang diambil untuk menimbangkan sama ada situasi di negara anggotanya akhirnya boleh menyebabkan tuduhan. Proses ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun. – MalaysiaGazette