Home Nasional Bina, turap jalan guna CMA manfaat pekebun kecil getah

Bina, turap jalan guna CMA manfaat pekebun kecil getah

SEGAMAT – Penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bagi pembinaan dan penurapan semula jalan raya di negara ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 440,000 pekebun kecil getah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu turapan CMA yang berasaskan getah itu dilihat mampu meningkatkan penggunaan getah negara terutama dalam sektor pembinaan itu dapat meningkatkan harga komoditi tersebut.

“Manfaat (bakal diperoleh) pekebun kecil getah apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menggunakan bahan mentah itu (CMA) untuk membina dan menurap jalan raya di seluruh negara nanti.

“Ia dapat membantu pekebun kecil getah di seluruh negara apabila permintaan terhadap getah akan meningkat,” katanya ketika berucap melancarkan projek membina semula jalan persekutuaan Yong Peng-Segamat di Tenang di sini hari ini.

Turut hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong.

Ahmad Zahid berkata, teknologi CMA yang menggunakan bahan getah asli itu akan mengurangkan keretakan jalan raya seterusnya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.

“Saya mengesyorkan supaya teknologi CMA ini diguna pakai secara meluas di seluruh negara.

“Saya menawarkan daerah Bagan Datuk (di Perak) untuk projek CMA secara berskala besar bermula 2018, katanya.

Beliau berkata, sebanyak 95 peratus daripada 720,000 tan getah asli yang dihasilkan di negara ini dibekalkan oleh pekebun kecil getah di seluruh negara dan kerajaan meletakkan pembelaan nasib pekebun kecil getah sebagai fokus utama.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu menolak pembangkang yang bersifat destruktif kerana ‘perangai’ itu bakal memberi impak negatif terhadap rakyat serta negara.

“Pembangkang bersifat konstruktif mampu memberi cadangan bagi menambah baik negara, namun di negara ini pembangkang bersifat destruktif menolak semua idea bernas daripada kerajaan. Jangan izinkan pembangkang bertapak,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan pembangkang bersifat destruktif itu, Barisan Nasional meletakkan usaha membela rakyat secara berterusan dan bukan bermusim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast