Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan sebilangan penduduk pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Jinjang, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2018
KUALA LUMPUR – Program sentuhan rakyat yang menjual barangan keperluan asas pada harga patut bukti keprihatinan Perdana Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program jualan itu anjuran bersama beberapa kementerian dan agensi kerajaan itu merupakan contoh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sentiasa mengambil kira keluhan rakyat.

“Perdana Menteri telah memberi arahan kepada semua wanita supaya kita mesti turun ke peringkat akar umbi di semua kawasan di seluruh pelusuk negara untuk berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat.

“Setiap rakyat dan pengundi itu amat mustahak, di mana jua mereka mesti merasai keprihatinan dan kepimpinan Datuk Seri Najib

“Ini adalah salah satu contoh di mana kepimpinan Datuk Seri Najib mengambil berat tentang masalah dan isu rakyat. Ini adalah salah satu cara untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Pasarnita Kepong hari ini.

Program berkonsepkan jualan Pasar Tani itu menyediakan lebih 30 barang keperluan pada harga patut anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara barang yang dijual bermula seawal 8 pagi tadi ialah ikan segar sejuk beku, sayur-sayuran, ayam, telur, beras tempatan dan minyak masak pada harga subsidi serta lebih rendah 5 hingga 20 peratus dari harga pasaran.

Jualan harga patut di Parlimen Kepong itu diadakan secara berkala iaitu sekali sebulan, sekurang-kurangnya enam bulan bermula sejak Januari lalu.

Beliau juga menyambut usaha meringkankan kos sara hidup rakyat itu melalui jualan pada harga patut yang sepatutnya dimulakan oleh kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

“Program sentuhan rakyat seperti ini adalah jualan harga berpatutan, diskaun diberi dan beberapa kemudahan juga dihulurkan kepada rakyat.

“Ramai yang datang ke sini sejak pagi tadi, untuk beli ikan, sayur dan beberapa barang keperluan keperluan asas jadi kita menyambut program ini,” katanya lagi – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast