KUALA LUMPUR – Juara Liga Perdana musim lalu, Kuala Lumpur membuat kejutan apabila menewaskan gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium KLFA, Cheras hari ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah, Paulo Josue pada perlawanan malam tadi sebelum ditangguhkan pada minit ke-57 kerana padang dinaiki air akibat hujan lebat.
Perlawanan yang disambung semula pada pukul 4 petang tadi kekal dengan tiada jaringan daripada kedua-dua pasukan.
Kemenangan itu cukup manis buat pasukan tuan rumah selepas kalah dua perlawanan berturut-turut pembukaan Liga Super 2018 sebelum ini.
Ketua Jurulatih JDT, Ulisses Morais berkata, anak buahnya sudah melakukan semua yang terbaik dalam perlawanan itu.
“Kami mengawal bola hampir 85 peratus perlawanan dan mendapat berpuluh-puluh peluang di hadapan pintu gol. Tetapi kami tidak dapat menjaringkan satu gol sekalipun.
“Inilah bola sepak, ada hari bagus dan ada hari tidak bagus. Dalam bola sepak jikalau kami tidak menjaringkan goal, pihak lawan yang akan jaringkan goal. Dalam bola sepak jika mahukan kemenangan, anda mesti menjaringkan gol,” katanya kepada Johor Southern Tigers. – MalaysiaGazette