Najib Razak

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima amalan sistem demokratik dan kebebasan rakyat untuk bersuara walaupun beliau sendiri menjadi mangsa berita palsu.

Jelasnya, golongan belia di bawah pentadbirannya hari ini lebih bebas dan terbuka untuk bersuara dan melontarkan pendapat termasuk menjadi sebahagian daripada penyumbang input kepada kerajaan.

“Inilah dia bila saya jadi Perdana Menteri saya telah menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sebab saya hendak masyarakat kita jangan dikongkong dan hidup dalam ketakutan dengan pemimpin yang boleh dikatakan diktaktor dan autokratik.

“Walaupun saya jadi mangsa segala kecaman dan fake news (berita palsu) tapi saya terima masyarakat demokratik,” katanya ketika menyampaikan ucapa di hadapan ribuan ahli Gerakan Belia 4B Malaysia petang tadi.

Jika dibandingkan dengan pentadbiran kerajaan sebelum ini, Najib menyifatkan rakyat lebih terkongkong dengan adanya ISA termasuk Ops Lalang semasa Tun Mahatahir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri.

“Semua kena ikut proses perundangan negara. Saya bagi suara bebas kepada orang muda.. dulu kalau bersuara kena ISA tak cukup itu masuk Ops Lalang.

“Saya tak buat Ops Lalang, saya buat dasar yang lebih terbuka kepada orang muda hari ini untuk bersuara,” tambah Perdana Menteri.

Ujar Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional itu, suara rakyat tidak patut disekat sekali pun ada di antaranya berbentuk kritikan namun ia perlu berlandaskan fakta.

“Kita mesti memberi ruang kepada kritikan tapi biarlah kritikan lebih bertanggungjawab dan berasaskan fakta. Boleh berbeza pendapat tapi jangan reka dongeng,” katanya lagi. -MalaysiaGazette