Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Usaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor patut dipuji dan dicontohi oleh persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang menganjurkan program penerangan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, usaha itu dapat memberi penerangan jelas kepada NGO mengenai fungsi dan proses pilihan raya yang dikendalikan oleh organisasi tersebut.

Katanya, apabila mendengar sendiri penerangan daripada SPR, sekurang-kurangnya NGO berkenaan mendapat fakta yang tepat, selain tanggungjawab yang dijalankan organisasi itu disebut dalam undang-undang, peraturan dan kod etika.

“Usaha yang dibuat oleh GPMS Selangor ini patut dipuji dan dicontohi oleh persatuan lain kerana apa yang saya katakan kepada ahli yang hadir adalah fakta yang disebut dalam undang-undang, dalam peraturan, dalam kaedah dan kod etika untuk mengadakan pilihan raya di Malaysia.

“Kalau ramai bersikap seperti GPMS ini, nescaya tidak akan ada dalam kalangan rakyat Malaysia akan keliru jika ada isu tertentu dibangkitkan parti politik.

“Mereka mendengar sendiri penerangan mengenai SPR dan pilihan raya. Mereka faham apakah fakta sebenarnya, adakah ia fitnah ataupun fakta,” katanya di Shah Alam semalam.

Menurut Abdul Aziz, dalam majlis perjumpaan itu, beliau memberi penerangan secara menyeluruh dan turut menjawab soalan dari ahli GPMS sehingga mereka faham.

Sementara itu, Pengerusi GPMS Selangor, Mohd Khairul Azman Abdul Aziz berkata, program untuk memberi penerangan kepada ahli, terutama orang muda untuk memahami mengenai proses pilihan raya dan tanggungjawab serta tugas yang dipikul SPR.

Katanya, sebelum ini ramai tidak tahu proses sebenar pilihan raya diadakan dan fakta yang berlaku, yang sering dibangkitkan oleh pihak pembangkang serta NGO pro pembangkang.

“Sebab itu, penting bagi GPMS Selangor mengadakan pendekatan seperti ini supaya kita faham dan boleh berkongsi dengan rakyat di luar sana.

“Kalau ada peluang kita nak jemput Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah untuk memberi penerangan dan apakah program yang dijalankan sekarang ini untuk persiapan PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast