PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah meminggirkan para akademik dalam usaha untuk membudaya dan membangunkan bangsa dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebaliknya kerajaan sentiasa meletakkan kedudukan golongan intelek ini di tahap tertinggi dalam masyarakat.
“Masyarakat memandang tinggi kepada golongan cendikiawan apatah lagi Profesor Ulung Negara yang turut menerima pengiktirafan daripada cerdik pandai antarabangsa dalam bidang yang mereka pelopori.
“Manfaat ilmu yang ada pada personaliti unggul Profesor Ulung juga boleh merapatkan jurang antara kompleksiti idea institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat kebanyakan,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Profesor Ulung Negara 2017 di Hotel Marriott, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, pelopor bidang ekonomi Malaysia, Profesor Dr Rajah Rasiah dari Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai Profesor Ulung Negara ke-5 yang merupakan pemilik tunggal anugerah itu bagi 2017.
Anak kelahiran Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu telah menyumbang banyak idea baharu kepada konsep inovasi dan keupayaan teknologi; pembentukan dasar pembangunan negara berkait dengan perindustrian.
Idris juga menyifatkan Profesor Ulung sebagai aset milik negara dan rakyat yang mana sumbangan cendikiawan itu sewajarnya merentasi arena institusi pendidikan tinggi yang diwakilinya.
“Ia juga melangkaui ekspektasi dunia pendidikan dan berupaya menterjemah konsep serta teori kompleks ilmu sehingga menjadi manfaat kepada masyarakat setempat dan sejagat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Idris mahu penerima anugerah itu membantu kementeriannya menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).
“Dalam era 4IR ini, trend ekonomi berasaskan teknologi digital menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi di dunia.
“Aktiviti perniagaan, perdagangan dan perindustrian secara maya menggunakan konsep Aritificial Intelligence (AI) serta robotik menjadi cabaran baharu, termasuk kewujudan teknologi seperti block chain dan crypto currenciers,” katanya.
Katanya, bagi tujuan itu, kementeriannya bersetuju untuk menyediakan dana berbentuk geran penyelidikan bernilai RM300,000 kepada Rajah bagi melonjakkan akademik yang dimiliki Profesor Ulung Negara baharu ini.
“Saya yakin Profesor Ulung Negara ini boleh merancang penyelidikan berimpak tinggi serta menggalak dan menginstitusikan idea bakat-bakat muda yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya yakin bahawa idea-idea daripada Profesor Ulung Negara ini akan membolehkan kementerian lebih mantap dalam persediaannya menghadapi 4IR,” katanya. – MalaysiaGazette