PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata proses membina bangsa menerusi pembangunan nilai diri dan sahsiah murid antara inisiatif yang mampu menangani masalah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Katanya, ia merupakan usaha berterusan yang menfokuskan lebih 402 sekolah pada tahun lalu untuk mencegah masalah disiplin dan perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar.
“Setakat ini kita tidak boleh mengatakan kadar masalah disiplin dan perlakuan jenayah gangsterisme dalam kalangan pelajar kritikal tetapi ia masih terkawal di bawah satu peratus.
“Malah ia bukannya melibatkan semua sekolah, sebaliknya hanya berlaku di beberapa sekolah yang dikenalpasti sebagai titik panas jenayah gangsterisme.
“Setakat ini kita menempat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di sekolah yang terdiri daripada pegawia polis untuk sentiasa berhubung dengan pelajar dan para guru sepanjang sesi persekolahan.
“Segala usaha dan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ini hanya akan berjaya menerusi kerjasama dan komitmen tinggi ibu bapa, guru, warga sekolah dan masyarakat secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir berkata, kebanyakan kes salah laku terus terjadi kerana faktor penarik yang menyumbang kepada sikap gangsterisme seterusnya mengakibatkan kejadian buli yang menyebabkan pelajar lebih berseronok melakukannya.
“Proses peradaban membina sebuah negara bangsa ini bukan mudah untuk dilakukan seperti yang disangkakan ramai kerana ia adalah satu proses transformasi yang panjang dan holistik.
“Malah kerjasama dengan polis dengan penempatan PPS adalah memastikan pelajar dan warga sekolah akan menerima maklumat berkaitan hukuman dan tindakan undang-undang sekiranya berlakunya kesalahan jenayah melibatkan tingkah laku murid,” katanya. – MalaysiaGazette