PUTRAJAYA – Polis sedang menunggu laporan forensik membabitkan klip rakaman video yang dipercayai bukti mendiang V. Vasanthariya, 13 yang didakwa mencuri telefon pintar gurunya sebelum meninggal dunia akibat mati otak di Hospital Pulau Pinang selepas cuba membunuh diri di rumahnya.
Walaupun sumber awal mengatakan wajah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal itu didakwa dirakan kamera litar tertutup (CCTV) namun Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan dakwaan tersebut.
Katanya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia sedang menganalisa CCTV itu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas bagi menyelesaikan kes tersebut.
“Buat masa ini kita tidak boleh mengesahkannya kerana masih menunggu laporan forensik untuk pengesahan kerana gambar dalam rakamanm CCTV itu juga sukar untuk dilihat secara lebih jelas.
“Jadi kita memerlukan pakar forensik untuk meneliti kualiti imej yang terakam dalam CCTV untuk menentukan individu di dalamnya.
“Dalam kes ini setakat ini kita telah memanggil kira-kira 30 orang termasuk ibu bapa mangsa, rakan, para guru dan pelajar sekolah berkenaan dan dirakam keterangan untuk membantu siasatan kami,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris bahawa sumber polis telah mengesahkan CCTV sekolah itu menunjukkan pergerakan Vasanthapriya mengambil telefon pintar milik gurunya.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, Vasanthapriya disoal selama hampir lima jam dalam sebuah bilik oleh guru terbabit dan pelajar itu cuba menggantung diri di rumahnya.
Namun pada 1 Februari Vasanthapriya yang dilaporkan kritikal lebih seminggu meninggal dunia akibat mati otak.
Terdahulu Thaiveegan hadir pada Program Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid anjuran Kementerian Pendidikan, PDRM, Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ditanya mengenai tempoh laporan forensik itu diperolehi polis, beliau berkata, ia bergantung sepenuhnya kepada kerjasama yang diperolehi forensik dalam menyiapkan analisa mereka.
“Kita akan menyerahkan laporan lengkap forensik dan siasatan kematian Vasanthapriya itu kepada pertimbangan lanjut Jabatan Peguam Negara.
“Setakat ini Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali tidak memberi sebarang tempoh untuk mengemukakan laporan siasatan itu.
“Bagaimanapun sebelum kes ini dilengkapkan, polis juga akan melihat aspek lain dalam siasatan ini dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai tampil memberi kerjasama kepada kami dan sehingga ini polis tak boleh sewenang-wenangnya mendakwa siasatan sudah dilengkapkan ataupun selesai,” katanya.
Mengulas kematian pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Adelina berusia 21 tahun, Thaiveegan berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya polis sedang menunggu hasil bedah siasat untuk meneruskan siasatan kematian pembantu rumah warga asing itu dengan tertangkapnya dua individu dipercayai majikan mangsa di Pulau Pinang semalam. – MalaysiaGazette