Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, tindakan itu hanyalah untuk membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
“Hari ini kita panggil salah seorang Exco Pulau Pinang ke SPRM Pulau Pinang untuk membantu siasatan kita.
“Siasatan setakat ini kita telah memanggil minimum 100 saksi dan mereka masih kekal ditahan kerana siasatan masih berjalan,” katanya pada sidang media selepas Program Gerah dan Pelancaran Kempen Gempur Bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Datuk Bandar DBKL, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan salah laku rasuah projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.
Projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Azam turut mengakui siasatan kes berkenaan sangat mencabar kepada pihaknya susulan ia melibatkan pelbagai aspek teknikal.
“Kes ini sangat teknikal dan pegawai saya perlu bantuan daripada orang-orang teknikal untuk membantu kita siasat kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.