KUALA LUMPUR – Tindakan disiplin akan diambil ke atas ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang cuba mensabotaj parti, kata kata Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor.

Kamaruddin berkata, parti sedang mengesan ahli-ahli yang melakukan kesalahan mengkritik pimpinan parti atau mensabotaj parti dan tindakan bakal diambil dalam masa terdekat.

“Lembaga disiplin parti kini sedang tangani hal berkaitan penyalahgunaan anggota parti seperti dalam isu bantahan atau kegiatan mensabotaj parti.

“Mana-mana anggota yang melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan parti akan diambil tindakan terhadap mereka oleh lembaga disiplin ini,” beliau dipetik berkata hari ini.

Amaran itu diberikan susulan terdapat tindakan ahli-ahlinya yang menghentam kepimpinan serta membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Kamaruddin berkata, sebarang kritikan dan ketakpuashatian perlu dibuat mengikut saluran yang betul.

“Saya nak ingatkan kepada anggota, ikut saluran yang betul untuk sampaikan bantahan atau rasa tidak puas hati kepada pucuk pimpinan parti.

“Ikut saluran parti yang sedia ada. Kalau tidak, kita tak ada pilihan melainkan mengambil tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap mereka,” katanya. – MalaysiaGazette