PETALING JAYA – Pelakon Mohamad Soffi Jikan mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini.
Pelakon KL Gangster itu membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.
Beliau yang dikenali dengan nama Sofi Jikan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Sofi Jikan didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam pada 6 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy manakala Sofi Jikan diwakili oleh peguam, Datuk Haniff Hassan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan kes ditetapkan pada 14 Mac ini. – MalaysiaGazette