Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menafikan dirinya terlibat dalam rakaman video seks yang tular bersama seorang wanita tidak dikenali ketika ini.

Chong Wei memberitahu, penyebaran video itu mungkin salah satu taktik kotor pihak tertentu yang mahu melihat dirinya gagal terutama menjelang tayangan filem biografinya bertajuk Lee Chong Wei pada bulan depan.

“Ini tidak masuk akal, kamu sendiri boleh lihat video itu dan sekali pandang kamu boleh tahu itu bukan saya.

“Ramai orang menghubungi saya bertanyakan mengenai perkara ini tetapi saya hanya ketawa. Namun, saya membuat laporan polis mengenai perkara ini di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini,” kata Chong Wei seperti dilaporkan BHOnline.

Chong Wei menambah, dia sudah lali menjadi mangsa tuduhan seperti itu tetapi kali ini menganggapnya sebagai keterlaluan.

“Pasti akan ada orang yang tidak suka dengan kejayaan yang kamu kecapi dan ini adalah salah satu cara mereka mahu menjatuhkan kamu. Namun, ada masanya ia sudah keterlaluan,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei turut mengulas mengenai skandal mengatur perlawanan yang membabitkan dua pemain badminton profesional negara.

“Apa yang saya boleh katakan, ia mencemarkan nama baik negara dan sukan badminton. Mereka mungkin bukan pemain BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tetapi mereka masih membawa Jalur Gemilang di dada mereka setiap kali beraksi.

“Sebagai pemain utama dunia, kes ini sangat memalukan. Saya harap kes ini akan segara diselesaikan dan BAM perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast