SHAH ALAM – Pas Selangor menyifatkan tindakan UMNO mempolitikkan langkah kerajaan negeri membatalkan sembilan projek rumah mampu milik Rumah Selangorku sebagai usaha menutup kelemahan parti itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad berkata, tindakan UMNO juga menunjukkan parti itu tidak memahami proses pembangunan sesebuah projek perumahan.
“Pembatalan sembilan projek itu menunjukkan jawatankuasa yang bertanggungjawab telah melaksanakan tugas mereka.
“Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku dan memberi peringatan serta notis apabila terdapat projek yang lewat.
“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) juga bersedia membantu pemaju yang menghadapi masalah dengan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Iskandar menjawab kritikan bertubi-tubi dari UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas beliau mengumumkan pembatalan sembilan projek perumahan Rumah Selangorku minggu lalu.
Dakwa beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, langkah pembatalan itu diambil hanya apabila tidak ada tindakan dari pemaju, yang menyebabkan kelulusan dibatalkan.
Dengan pembatalan itu, katanya, pemaju tidak boleh memulakan pembinaan rumah harga bebas pada projek berkenaan.
“Di bawah kerajaan negeri hari ini, Rumah Selangorku wajib dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.
“Oleh itu, pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan sebelum boleh membina rumah harga bebas.
“Ini berbeza dari zaman Barisan Nasional (BN), di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu. Akibatnya terdapat rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette