Home Politik Persempadanan semula diadakan secara telus – mantan Pengerusi SPR

Persempadanan semula diadakan secara telus – mantan Pengerusi SPR

Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak dilakukan atas desakan atau kehendak parti politik, sebaliknya mengikut peraturan dan undang-undang yang terkandung dalam perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu, menurut mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, mana-mana parti politik, baik pembangkang mahupun blok Barisan Nasional (BN) tidak berhak membuat tuduhan atau kenyataan tidak berasas kepada institusi itu.

“Persempadanan semula ini dijalankan dan diuruskan oleh SPR. Kita mengadakan pameran, selepas itu notis, kemudian kita adakan pameran sekali lagi selama sebulan.

“Ketika itu, pengundi boleh saja membuat bantahan dan membuat cadangan. Tidak semestinya (bantahan dan cadangan) itu dari parti politik saja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pun boleh,” katanya pada pertemuan dengan NGO di sini, semalam.

Menurut Abdul Aziz, apabila bantahan itu diterima, SPR mengadakan ‘pendengaran ramai’ untuk mendengar bantahan dan pihaknya akan membuat keputusan.

Selepas itu, katanya, ia dipamerkan lagi sekali selama sebulan untuk kali kedua dan ketika itu bantahan tidak lagi diterima, malah keputusan SPR mengenai persempadanan semula adalah muktamad.

“Apa saja cadangan, sama ada dari parti politik, Exco Kerajaan Negeri atau individu tertentu, SPR akan terima dan pertimbangkan seadil-adilnya mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor menyerahkan kira-kira 200 bantahan Syor Kajian Persempadanan Semula di pejabat SPR negeri di Kompleks PKNS.

Jawatankuasa itu yang diketuai Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, berjaya mengumpul kira-kira 30,000 tandatangan yang dikumpul menerusi pelbagai kempen oleh parti komponen PH dan NGO Bersih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast