Home Nasional 400 maahad tahfiz masih belum mendaftar

400 maahad tahfiz masih belum mendaftar

Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama penerima alat keselamatan kebakaran pada Majlis Penyampaian Bantuan Alat Keselamatan Kebakaran Institusi Tahfiz Swasta Berdaftar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto AQIRA AZEMI, 15 FEBRUARI 2018

PUTRAJAYA – Kira-kira 400 maahad tahfiz yang masih belum berdaftar diseru agar berbuat demikian di Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing demi kepentingan dan keselamatan anak-anak tahfiz.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan terdapat 1,000 institusi maahad tahfiz di negara ini dikesan beroperasi berbanding senarai 612 institusi yang didaftarkan secara sah.

“Antara sebab masih banyak maahad tahfiz tidak berdaftar adalah kerana Jabatan Agama Islam Negeri telah menentukan piawaian dan ciri-ciri keselamatan yang perlu dipenuhi.

“Mereka khuatir syarat-syarat itu tidak dipenuhi tetapi demi menjaga keselamatan anak-anak tahfiz, mereka perlu mematuhinya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan alat keselamatan kebakaran kepada 612 institusi tahfiz di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam oada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, maahad-maahad tahfiz yang telah berdaftar turut akan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai pemantau dalam menjaga keselamatan warga maahad tahfiz tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemasangan CCTV untuk 612 maahad tahfiz itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Kita tidak mempunyai jumlah pengawal keselamatan yang mencukupi untuk menjaga maahad tahfiz ini. Jadi kita menggunakan kaedah pemasangan CCTV untuk memantau keselamatan mereka,” ujarnya.

Tambahnya, ke semua maahad tahfiz yang berdaftar itu turut akan menjalani latihan kebakaran sekurang-kurangnya sekali setahun dan akan dikawal selia oleh pihak JBPM. – MalaysiaGazette