KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diselar kerana dikatakan cuba mengganggu gugat dan mempersoal kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas menyiasat dan mencegah rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Ketua Menteri itu tidak patut mengeluarkan kenyataan menuduh anggota SPR sengaja ‘memerangkap’ dua anggota Exco Kerajaan Negeri untuk siasatan kes berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
“Saya mewakili suara rakyat Malaysia mendesak DAP akur dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membolehkan kes yang disyaki rasuah itu dapat disiasat mengikut prosedur tanpa gangguan.
“MCW menyokong tindakan tegas SPRM untuk menyelesaikan siasatan kes ini dengan segera. Semua pihak yang dipanggil untuk siasatan mestilah akur dan memberikan kerjasama dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Menurutnya, sebagai pemimpin parti politik yang berpegang kepada dasar Cekap, Amanah dan Telus, mereka (DAP) sewajarnya memberi sokongan penuh kepada SPRM yang akan dapat membersihkan imej mereka jika terbukti tidak bersalah. – MalaysiaGazette