Dr. Noorazman Mohd Samsuddin

KUALA LUMPUR – MyAQSA membantah kemasukan diplomat Israel ke Malaysia ketika menghadiri World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemasukan diplomat Israel yang diketuai bekas Timbalan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Roet sebagai wakil rasmi kerajaan haram Israel itu bertentangan dengan pendirian negara selama ini.

Malaysia tidak pernah mengiktiraf dan tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA, Dr. Noorazman Mohd Samsuddin berkata, walaupun kemasukan mana-mana warganegara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dibenarkan atas maksud ilmiah atau sukan namun MyAQSA melihat kehadiran wakil rasmi Israel itu bukan suatu keperluan mendesak.

“Forum ini tidak akan terjejas jika tidak dihadiri oleh wakil dari Israel ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Noorazman berkata, apa maknanya kehadiran wakil Israel di WUF sedangkan kerajaan haram Israel yang dengan rakus memusnahkan bandar-bandar di Palestin.

“Bahkan, rejim zalim yang diwakili inilah yang sentiasa membawa ketidakstabilan kepada bandar Baitulmaqdis yang berada di dalamnya Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga tersuci umat Islam.

“Bersama bantahan ini, MyAQSA meminta agar pihak berkuasa mengakui kekhilafan ini serta mestilah beriltizam untuk tidak membiarkan perkara ini berlaku lagi pada masa akan datang.

“Beristiqamahlah dengan pendirian emas yang selama ini dipegang teguh oleh Malaysia terhadap kerajaan haram Israel ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kebersamaan dalam isu itu adalah suatu yang wajib dalam rangka negara melaksanakan Resolusi Persidangan Ulamak Dunia MyAQSA yang telah disepakati di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya resolusi itu antara lain menyatakan dengan tegas bahawa umat Islam tidak akan sekali-kali mengiktiraf negara haram Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast