Ruslan Kassim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan pemimpin DAP agar tidak cuba menjolok sarang tebuan kerana dikhuatiri tidak tahan menanggung kesakitan akibat sengatan.

Ketua Penerangannya, Datuk Ruslan Kassim berkata, DAP sepatutnya perlu belajar menghormati bangsa dan kaum lain terutama orang Melayu yang berkaitan dengan keagamaan.

“Kita ingin mengingatkan DAP, ingatlah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Oleh itu, toleransi dan menghormati hak untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing adalah jelas tercatat dan dijamin oleh Perlembagaan Negara sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

“Sekurang-kurangnya belajarlah menerima hakikat kita boleh hidup aman damai jika kita boleh menghormati perbezaan yang ada.

“Jika anda tidak bersedia menerima perbezaan itu, kami cadangkan carilah negara dan bumi lain selain Malaysia yang terlalu banyak memberi ruang dan peluang untuk kita bersatu dalam kepelbagaian agama, bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian sekumpulan masyarakat Cina DAP menghalang penduduk Islam di sebuah taman perumahan di Kota Kinabalu, Sabah hendak membina surau untuk beribadat.

Dalam kejadian itu, DAP yang diwakili Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong dikatakan telah menguris perasaan orang Islam apabila menjelaskan surau boleh mengganggu tidur masyarakat Cina.

Menurut Ruslan, umat Islam di negara ini sudah cukup berlembut dan bertoleransi, tetapi janganlah sikap hormat dan toleransi mereka itu cuba disalah gunakan serta diambil kesempatan oleh DAP seolah menyiram minyak ke atas api yang sedang menyala.

Kata beliau, bagi DAp, segala perkara yang berhubung dengan orang Islam, apatah lagi mengenai kepentingan Melayu hendak diusik dan disanggah. Gangguan ini bukan perkara baru.

“Kalau mereka berbicara seolah mahu membela Melayu,  di sebalik itu mesti ada terselit kepentingan dan keuntungan bagi pihak mereka sama ada dalam jangka pendek atau panjang.

“Mereka akan mengasak dari segenap penjuru atas segala isu yang berkaitan dengan hak dan kepentingan bangsa Melayu,” ujar beliau.

Menurutnya, di bumi Melayu dan dalam skala proporsi politik Melayu yang dominan pun mereka boleh memainkan sandiwara Cina untuk menunjukkan kaum mereka sentiasa menjadi mangsa kepada politik pemangsaan orang Melayu, walaupun dalam kebanyakan keadaan mereka yang meraih untung dari satu-satu situasi yang tercetus.

Kata beliau, stail politik begitu tidak akan berubah kerana mereka telah berjaya mencongak dalam permainan politik angka di negara ini.

“Perpecahan Melayu adalah senjata paling ampuh mereka untuk menguasai politik tanah air dan ini akan berterusan selama mana orang Melayu tidak mempunyai kesedaran untuk menyelesaikan sengketa sesama sendiri sebelum berpencak di gelanggang politik kepartian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast