KUALA LUMPUR – Wanita MCA menyifatkan hidangan Yee Sang yang disajikan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, walaupun ramuan yang digunakan dalam hidangan Yee Sang adalah daripada bahan makanan biasa namun ia kelihatan menarik dan enak apabila ia digaulkan kesemuanya.
“Bagi masyarakat Cina, acara Yee Sang itu ibarat masyarakat majmuk Malaysia. Bila setiap satu ramuan itu berasingan, seperti kacang, bijan, lobak dan sebagianya, ianya bahan-bahan biasa dan tidak menyerlah.
“Tapi bila kita gaulkan bersama, ia akan menjadi satu hidangan yang begitu menarik, istimewa dan enak sekali,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Seai Kie juga berkata, tanpa perpaduan rakyat Malaysia mudah goyah dan tidak mungkin dikenali di serata dunia kerana keunikan masyarakat majmuk dan bebas mengamalkan kepercayaan agama.
“Setiap kaum mempunyai identitinya tersendiri dengan kelebihan dan kelemahan yang ada.
“Bila kita berasingan, kita tak kuat, tetapi kalau kita dapat berganding bahu, semua bersatu padu untuk menyatukan kekuatan, kita akan jadi satu bangsa Malaysia kuat dan disegani oleh dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.