Ahmad Zahid bersama ibu angkatnya, Cheah Seoh Lian (tiga dari kiri) dan Beh (kiri) mengaul yee sang.

BAGAN DATUK – Seperti tahun-tahun sudah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan tradisi mengunjungi kediaman rakan karibnya, Beh Song Wan bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang di sini.

Beh, 55, yang merupakan rakan karibnya sejak 27 tahun lalu, menyediakan hidangan seperti kari kepala ikan sembilang, udang galah, pecal, mi goreng, pulut panggang serta limau mandarin untuk Ahmad Zahid serta 200 hadirin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba kira-kira jam 10.10 pagi dan meluangkan masa setengah jam di kediaman Beh sambil beramah mesra dengan anggota keluarga Beh.

Pemimpin nombor dua negara itu turut berkesempatan menggaul ‘yee sang pecal’ bersama anggota keluarga Beh termasuk ibunya, Cheah Seoh Lian, 77, yang merupakan ibu angkat Ahmad Zahid.

Beh yang mesra dipanggil Bujang oleh Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita kemudian, berkata, kehadiran Ahmad Zahid amat bermakna kerana timbalan perdana menteri itu tidak pernah melepaskan peluang menziarahi keluarganya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Saya seronok kerana walaupun beliau sibuk, beliau tidak pernah terlepas peluang datang menziarah kami apabila Tahun Baharu Cina. Ini kali kelima beliau datang selepas kami berpindah ke rumah baharu dan sebelum ini beliau datang ziarah ke kedai sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast