TANAH MERAH – Suasana pilu menyelubungi penduduk Kampung Alor Pasir, yang menyaksikan pengebumian jenazah empat sekeluarga dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir/Padang Kijang dekat sini, malam tadi.
Mayat mangsa yang ditemui lemas di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh selamat dikebumikan kira-kira jam 11.45 malam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Yazul Bahari Yacob, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10; adik Yazul Bahari, Yusnina, 38; serta anak saudara mereka, Zufika Suhaimi, 10 tahun.
Terdahulu, keempat-empat jenazah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat, sebelum dibawa ke rumah bapa mereka, Yacob Ismail, 68, di kampung itu kira-kira jam 10 malam.
Jenazah kemudian disembahyangkan di rumah itu oleh hampir 100 jemaah dengan diimamkan ImamTua Masjid Mukim Alor Pasir, Yahya Daud.
Sementara itu, Yacob ketika ditemui berkata, beliau reda dan menyifatkan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.
“Allah lebih menyayangi mereka dan diharapkan seorang lagi ahli keluarga kami yang masih hilang ditemui segera (setakat malam tadi),” katanya.
Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, empat sekeluarga itu lemas ketika mandi-manda di Pantai Tok Bali. Mayat mereka ditemui jam 11.15 pagi.
Yazul Bahari adalah dari Serdang, Selangor, manakala Yusnina dari Tanah Merah dan Zufika dari Semenyih, Selangor.
Sementara itu, seorang lagi mangsa lemas, Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, ditemui nelayan 9.45 pagi tadi.
Turut menziarahi dan berada di tanah perkuburan ialah Penaung Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat), Datuk Seri Muhammud Supardi Md Nor. – MalaysiaGazette