BUKIT MERTAJAM – Polis yakin dapat menyelesaikan siasatan kes bayi berusia 46 hari yang meninggal dunia dipercayai akibat didera pada Khamis lalu dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Roshan Nik Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu termasuk anggota keluarga bayi berkenaan selain akan memanggil beberapa lagi termasuk jiran keluarga tersebut untuk membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar mereka (suami isteri) mendera bayi itu sehingga mangsa mengalami kecederaan dalaman dan luaran termasuk pendarahan luar otak,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa mayat bayi itu masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi membolehkan pakar pergigian menjalankan pemeriksaan dan ujian lanjut ke atas mangsa berikutan terdapat beberapa kesan gigitan di pipi serta badannya.

“Kemungkinan proses pemeriksaan dan ujian itu akan selesai esok kerana pakar berkenaan perlu melakukan pemeriksaan secara terperinci bagi mengenal pasti kesan gigitan yang terdapat pada mangsa sama ada ia daripada ibu atau bapa bayi tersebut,” katanya.

Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus dilaporkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke HSJ pada Khamis.

Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas Nurul Ain Umairah, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak selain terdapat banyak kecederaan lebam, luka dan calar pada badan mangsa.

Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa bayi berkenaan dan mereka direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa didera sejak beberapa minggu lepas berdasarkan keadaan kecederaan dan lebam yang terdapat pada badan bayi malang itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di HSJ mendapati beberapa anggota keluarga bayi berkenaan tiba di Unit Forensik hospital tersebut kira-kira 10 pagi ini untuk menuntut jenazahnya.

Mereka bagaimanapun dilihat meninggalkan kawasan berkenaan tidak lama kemudian selepas dimaklumkan proses pemeriksaan ke atas jenazah Nurul Ain Umairah belum selesai.

Menurut ibu saudara bayi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fiza, 20-an, mereka akan membawa pulang jenazah ke Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini untuk dikebumikan selepas semua proses pemeriksaan selesai. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast