Presiden MiTA, Uzaidi Udanis memberi angpau kepada pengunjung yang hadir di MiTA Lion Dance Showcase Meet And Greet Tourist di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 17 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) mensasarkan 250,000 pelancong warga China melawat ke Malaysia selama dua minggu pada sambutan Tahun Baru Cina 2018 berbanding 200,000 orang pada tahun lalu.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, berdasarkan trend semasa ia menjangkau sasaran awal persatuan itu.

“Fokus kami sekurang-kurangnya 3 juta pelancong China sepanjang tahun ini, sekali gus meningkatkan momentum pada 2020 dengan jangkaan 4 juta orang warga China selaras dengan sasaran 35 juta pelancong dengan pendapatan RM168 bilion oleh Kementerian Pelancongan.

“Kali ini kita yakin mencapai sasaran 250,000 pelancong dari China menjelang Cap Go Mei, tetapi menurut Kedutaan Malaysia di China, sebanyak 327,000 visa telah dikeluarkan di China berbanding 193,000 tahun lepas, untuk memudahkan warga China melawat ke Malaysia sepanjang sambutan Tahun Baru China sehingga 13 Mac ini,” katanya selepas program tahunan Tarian Singa dan Sambutan Pelancong ke-6 di Dataran Merdeka di sini.

Tambah beliau, terdapat 4,000 pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin yang dapat menarik pelancong China.

“Selain itu permit pemandu pelancong sementara juga diusahakan oleh MITA bagi memastikan kita tidak berdepan masalah,” ujarnya.

Ditanya antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pelancong China ke Malaysia semasa Tahun Baru China, Uzaidi berkata, kerjasama ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara sangat ketara kususnya sektor pelancongan.

“KIta juga sangat komited dan serius dalam mempromosikan negara kita di China memandangkan menerima persaingan sengit daripada negara jiran Singapura, Vietnam dan Thailand yang mengeluarkan Visa percuma kepada pelancong dari China,” katanya sambil menambah pihaknya telah menghantar kira-kira 100 ahli ke China untuk mempromosikan produk Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast