KUALA LUMPUR – Polis masih belum memperolehi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kes seorang remaja maut ditimpa sebuah kerusi yang dipercayai dibaling dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, masih belum terdapat sebarang perkembangan terbaharu dalam kes ini.
“Laporan DNA bagi kes baling kerusi masih belum diterima lagi,” katanya ringkas menerusi WhatsApp pagi ini tanpa mengulas lanjut.
Jelasnya, polis masih menantikan laporan penuh keputusan DNA dari Jabatan Kimia, melibatkan lebih 31 sampel ujian DNA yang diambil pihaknya dalam kes tersebut untuk mengetahui punca dan mengesan pesalah.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar 8.30 malam mangsa, S. Sathiwaran yang merupakan pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya sedang berjalan bersama ibunya, S Kasthurivai, 45, untuk balik ke rumah mereka di tingkat 16 blok sama.
Dua beranak terbabit sebelum itu pergi ke kedai runcit di tingkat bawah PPR Seri Pantai itu dan sebaik saja mereka menghampiri ruang tertutup berhampiran tangga di Blok 102, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala mangsa sebelum mati di lokasi kejadian.
Polis telah menahan lima individu dan menyiasat secara terperinci dengan 11 individu lagi dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette