KUALA LUMPUR – “Kita tidak lagi boleh berkompromi dengan tindakan provokasi pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee,,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, rakyat negara ini tidak boleh bertolak ansur dengan individu seperti Namewee yang banyak kali melakukan tindakan seperti mahu mencetuskan provokasi dalam kalangan umat Islam.
“Namewee sudah melampau dan biadap terhadap orang Islam. Dia seolah-olah mahu mencabar kita.
“Kalau dia nak menari seperti dalam video klip itu pun, pergilah (menari) dalam hutan, kenapa mesti buat (video klip) depan masjid,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.
Namewee dikatakan memuat naik klip video bersempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ minggu lalu, memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatarbelakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Ismail Sabri juga berkata, beliau bimbang ada pihak akan mengambil peluang dan menggunakan isu berkenaan untuk mencetuskan ketegangan antara kaum.
“Jadi, sebelum ini berlaku, eloklah pihak berkuasa menahan Namewee untuk siasatan lanjut.
“Sebelum ini pun, sudah banyak kali perkara seperti ini berlaku dan tidak ada tindakan tegas diambil.
“Saya risau jika ada pihak yang ekstrem (taksub) mengambil tindakan sendiri terhadap pemuzik seperti Namewee ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette