KUALA LUMPUR – Aircel Ltd akan memfailkan kebankrapan di Tribunal Undang-Undang Syarikat Kebangsaan (NCLT).
Syarikat pengendali rangkaian mudah alih India yang berpangkalan di Gurgaon itu dikuasai 74 peratus oleh Maxis Communications Berhad.
The Economic Times melaporkan, Aircel dimiliki oleh T. Ananda Krishnan telah berunding dengan peminjam sejak September tahun lalu tetapi gagal membatalkan hutangnya.
“Bank tidak dapat menstruktur semula hutang Aircel selepas syarikat itu tidak membuat sebarang pembayaran sejak September,” menurut laporan itu.
Aircel mempunyai pinjaman sejumlah 155 bilion rupee (RM9.4 bilion) dengan hutang mampan dianggarkan 55 bilion rupee (RM3.3 bilion).
Memetik sumber, The Economic Times berkata, Lembaga Pengarah Aircel telah dibubarkan sebelum memfailkan kebankrapan.
Menurut media itu, dengan langkah yang dibuat oleh Aircel itu, jumlah suarikat mudah alih negara itu menjadi empat dan akan dikurangkan kepada tiga selepas penggabungan.
Bagaimanapun, Aircel enggan mengulas perkara itu tetapi syarikat itu didakwa sedang dalam proses mencalonkan ahli-ahli dalam lembaga pengarah baru dan profesional insolvensi akan melaksanakan proses tersebut.
Permohonan kepada NCLT akan dibuat dalam beberapa hari ini.
Maxis Communications yang memiliki 64.91 peratus saham dalam Maxis Berhad dilaporkan pada tahun akan melabur AS$500 juta dan meningkatkan sehingga AS$1.1 juta dalam Aircel sebagai komitmen kepada syarikat tersebut.- MalaysiaGazette