SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam mendesak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan proses merobohkan bangunan Plaza Tol Batu Tiga dekat sini bagi mengelak lebih banyak kemalangan melibatkan kehilangan nyawa berlaku.

Ketua Bahagiannya, Datuk Azhari Shaari berkata, LLM juga harus memberi peringatan yang tegas kepada kontraktor bertanggungjawab melakukan kerja perobohan itu agar mengutamakan ciri-ciri keselamatan seperti memasang lampu dan meletakkan alat pantulan cahaya secukupnya.

Katanya, kemalangan awal pagi tadi bukan kali pertama direkodkan sejak pembayaran Tol Batu Tiga dimansuhkan pada tengah malam 31 Disember tahun lalu malah pernah berlaku kejadian yang turut meragut nyawa di lokasi itu pada bulan lepas.

“Kita dukacita apa yang berlaku, kerana ini bukan kali pertama, bulan lepas pun berlaku kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya.

“UMNO Bahagian ini mendesak pihak LLM agar mengambil perkara ini secara serius,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 awal pagi tadi, dua lagi pengguna Lebuhraya Persekutuan menjadi korban struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga, apabila kereta yang dinaiki dua sahabat itu hilang kawalan dan merempuh tembok tol berkenaan.

Mangsa yang maut ialah Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31; dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27..

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua di lokasi itu selepas kemalangan pertama yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Januari lalu.

Menurut Azhari, walaupun UMNO Bahagian Shah Alam yang memperjuangkan pemansuhan tol itu, tetapi beliau tidak mahu kejadian itu menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

“Kami difahamkan proses perobohan plaza ini dilakukan berperingkat dan dijangka selesai Mac ini, tetapi saya menyerulah kepada pihak LLM agar mengambil langkah keselamatan kepada pengguna kerana kawasan itu memang gelap dan bahaya.

“Kalau tidak bahaya masakan sampai dua kali berlaku kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa. Kita tidak hendak lagi berlaku di masa akan datang.

“Kami harap desakan ini mendapat perhatian penuh pihak LLM kerana kita tidak mahu kejadian sama berulang pada akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast