KUALA LUMPUR – Isu tanah Ijok semakin panas dan menarik perhatian rakyat Selangor apabila Setiausaha MIC Negeri, Datuk Rawisandran Narayan mempersoalkan kenapa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali suka berdolak dalik seolah menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan umum.
Ketika tampil campur tangan dalam isu itu, Rawisandran berkali-kali mendesak Mohamed Azmin agar berterus terang sahaja kepada rakyat yang ingin mengetahui kenapa tanah itu diserahkan kepada dia syarikat yang sebelum ini bermasalah.
Katanya, Menteri Besar harus mendedahkan isi kandungan perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan pihak ketiga yang membeli tanah dirampas secara zalim itu dari rakyat.
“Dia perlu telus dan tampil membuktikan tindakannya menyerahkan tanah itu kepada dua pemaju terbabit sebelum dijual kepada pihak ketiga.
“Saya bersetuju dengan gesaan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya transaksi penjualan itu disiasat, kerana dikatakan wujud keraguan serta berlaku proses penyerahan secara tidak telus,” katanya.
Beliau berkata, Khalid yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Selangor sejak Pakatan Rakyat (PR) menang pada PRU 13 dahulu, mempunyai bukti, fakta dan maklumat penting, di mana kerajaan negeri cuba peralatkan dan tutup rahsia bagaimana tanah itu dijual kepada pihak ketiga.
Rawisandran mendesak Mohamed Azmin mendedahkan cerita sebenar dan tidak cuba mengelirukan rakyat mengenai isu itu kerana tindakannya telah menganiayai penduduk Ijok. – MalaysiaGazette