WASHINGTON – Bekas juara dunia tenis, Serena Williams membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui dirinya hampir ‘mati’ selepas melahirkan anak perempuannya September tahun lepas.
Daily Mail melaporkan, Williams mengalami komplikasi teruk sehingga hampir membawa maut selama hampir enam minggu selepas melahirkan Alexis Olympia.
Bintang Grand Slam itu mendedahkan, beliau menghadapi beberapa komplikasi termasuk darah beku dalam saluran darah ke paru-paru, memaksa dirinya untuk menjalani beberapa pembedahan selepas melahirkan anak.
“Saya hampir mati selepas melahirkan Olympia. Tanpa kepakaran doktor terlatih serta kemudahan serta teknologi, tidak mungkin saya masih hidup lagi.
“Insiden hitam ini juga telah menyebabkan saya menjadi trauma. Ketika pembedahan, doktor menemui darah beku yang besar di bahagian abdomen dan beberapa prosedur terpaksa dijalankan untuk menyekat darah beku masuk ke paru-paru.
“Saya amat berterima kasih kepada Tuhan dan pasukan perubatan serta peralatan canggih dan berteknologi tinggi, saya dapat terus hidup,” katanya dalam sebuah temubual di CNN kelmarin.
Justeru itu, Williams mula aktif dalam berkempen dalam memberi kesedaran kepada ibu-ibu tentang penjagaan kanak-kanak selain daripada komplikasi yang dhadapi sebelum dan selepas mengandung.
Beliau juga turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan bantuan yang dapat meringankan beban ibu-ibu dan bayi baru lahir di seluruh dunia.
Williams pernah merangkul kejuaraan Grand Slam sebanyak 23 kali kembali ke gelanggang tenis sembilan hari lalu ketika mewakili Amerika Syarikat di kejohanan Fed Cup. – MalaysiaGazette